KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Perjuangan rakyat Palestin bukan sekadar isu politik, sebaliknya tragedi kemanusiaan yang wajib ditolak bersama oleh seluruh umat manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia sentiasa konsisten menolak penjajahan dan penindasan, sama ada di Palestin mahupun mana-mana negara, kerana semangat kemerdekaan 1957 membuktikan bahawa rakyat berhak menentukan masa depan sendiri tanpa kongkongan kuasa asing.
“Kalau dulu saya bicara keras, sekarang saya sudah menjadi Perdana Menteri dan saya gunakan kuasa sedaya upaya. Untuk setiap pemimpin – Islam, Jepun, China – saya tidak pernah meninggalkan saudaraku Gaza dan Palestin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Sumud Nusantara 2025: Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, malam ini.
Datuk Seri Anwar turut menempelak sikap kuasa besar dunia yang masih membiarkan Palestin dijajah.
“Kenapa kita menolak penjajahan dahulu, tetapi dunia masih membiarkan penjajahan terhadap Palestin? Apa alasan untuk menerima pembunuhan anak-anak kecil dan wanita yang tidak berdosa? Ini persoalan yang perlu dijawab oleh kuasa besar,” ujarnya.
Perdana Menteri juga menzahirkan penghargaan kepada pertubuhan masyarakat sivil seperti MAPIM dan NADIM atas penganjuran program solidariti itu, sambil menegaskan rakyat Malaysia sentiasa berdiri seiring dengan kerajaan Madani dalam membela nasib rakyat Palestin.
Menurut beliau, kezaliman rejim Zionis yang merampas tanah, memusnahkan rumah, merobohkan masjid dan gereja serta menyekat bantuan makanan dan ubat-ubatan adalah jenayah kemanusiaan yang tidak boleh diterima.
“Kita tidak boleh berasa lelah atau kecewa. Perjuangan ini panjang, tetapi kita yakin pertolongan Allah SWT tidak akan lari daripada mereka yang berpegang kepada kebenaran,” jelasnya.