KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang terus menderita akibat kekejaman Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan konsisten menyuarakan solidariti bersama Palestin dan akan terus mendesak komuniti antarabangsa mengambil tindakan tegas terhadap rejim Zionis.
“Saya minta rakyat, syarikat serta para pedagang yang kaya sentiasa ingat bahawa negara ini bebas dan aman. Belajarlah daripada itu, dan marilah kita menjamin kebebasan kepada rakan-rakan lain.
“Saya juga minta syarikat-syarikat agar lebih prihatin. Memang mereka telah beri bantuan, tetapi kerana kekejaman Israel, makanan dan bekalan rosak sebelum sampai kepada rakyat Gaza,” katanya.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Karnival Sumud Nusantara 2025: Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, malam ini.
Terdahulu, kerajaan telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM100 juta bagi tujuan sama sebagai usaha membela nasib rakyat Gaza.