KUALA LUMPUR, 14 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Turkiye malam ini bagi memberi sokongan moral serta semangat kepada negara itu yang terkesan gempa bumi, awal minggu lepas.
Beliau yang akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka berlepas pukul 11.00 malam nanti.
Malaysia merupakan negara terawal menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada Turkiye.
Sebelum ini, beberapa pasukan keselamatan seperti Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dihantar bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR).
"Saya ingat sahabat-sahabat harus ada untuk berikan semangat dan dokongan, bukan sahaja kepada beliau Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan tetapi juga kepada rakyat.
"Walaupun kita tidak boleh buat apa-apa, saya mulanya enggan pergi, saya fikir pasukan SMART sudah dihantar, hospital pun sudah dibuka, namun atas semangat persahabatan, saya buat keputusan ke sana," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama ahli Dewan Negara di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.