(Operasi Khas JPJ menyita 28 buah kenderaan warga asing)
PADANG BESAR, 14 Februari- Sebanyak 28 buah kenderaan warga asing disita di Perlis menerusi satu operasi khas yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sepanjang Januari hingga semalam.
Pengarah JPJ Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, 22 buah motosikal, empat buah kereta dan masing-masing sebuah van dan lori itu disita hasil risikan pihaknya.
Jelas beliau, beberapa kesalahan dikesan antaranya adalah memandu tanpa lesen, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tiada perakuan pemeriksaan (disk) Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) serta tiada lesen vokasional (GDL).
Kesemua pemandu warga asing tersebut dikenakan tindakan saman dan kompaun serta denda tidak melebihi RM2,000 di bawah Seksyen 119 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala kenderaan yang disita ditempatkan di depoh sita JPJ Perlis.
(22 buah motosikal, empat buah kereta dan masing-masing sebuah van dan lori
disita hasil risikan Unit Operasi JPJ Perlis)