fb fb fb fb fb

PM hadir Malam Manifestasi Tiga Seni

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni para tetamu ketika hadir pada malam Manifestasi Tiga Seni di Balai Budaya Tun Syed Nasir Wisma DBP/Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 18 Disember - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menghadiri Malam Manifestasi Tiga Seni, di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Beliau bersama-sama lebih 1,000 tetamu menghayati acara yang menggabungkan tiga seni utama; puisi, lukisan dan lagu.

Beberapa tokoh sastera seperti Sasterawan Sarawak Dr Abang Patdeli Abang Muni mendeklamasikan puisi pada acara itu, selain Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Program itu turut diserikan lagi dengan persembahan artis terkenal tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Asmidar.

Hadir sama memeriahkan majlis malam ini ialah, Sasterawan Negara Datuk Seri Abdul Samad Muhammad Said atau A Samad Said serta Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan.

Acara yang bermula sejak 50 tahun lalu, dijelmakan kembali DBP untuk menggalakkan pernghargaan tinggi terhadap perkaitan disiplin seni dan keupayaan kolektif para seniman.

TETITIA YUSOFF