KUALA LUMPUR, 28 Julai - Sebagai Pengerusi ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencatat kejayaan diplomatik apabila berjaya memulakan langkah awal ke arah keamanan antara Thailand dan Kemboja menerusi gencatan senjata 24 jam.
Walaupun bersifat sementara, langkah itu dilihat sebagai pencetus penting ke arah penyelesaian jangka panjang.
Pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata, pendekatan luar biasa yang digunakan oleh Datuk Seri Anwar bukan hanya bergantung kepada diplomasi ASEAN, tetapi turut melibatkan dua kuasa besar dunia, China dan Amerika Syarikat.
"Paling menarik bagi saya ialah Pengerusi ASEAN faham bahawa perkara ini perlu mendapat sokongan daripada kuasa besar dan beliau gunakan dengan bijak tekanan dari China dan Amerika Syarikat untuk pastikan kedua-dua negara itu akur," katanya kepada RTM.
Melangkaui kebiasaan dasar berkecuali ASEAN, pendekatan ini menunjukkan bagaimana peranan kuasa besar boleh dijadikan pemangkin kepada usaha damai, tanpa menggugat prinsip utama ASEAN.
"Walaupun polisi ASEAN mahu ASEAN itu neutral tapi dalam keadaan-keadaan tertentu, pengaruh kuasa besar ini diperlukan," tambahnya.
Dengan permulaan gencatan senjata ini, Malaysia membuktikan, suara rantau Asia Tenggara boleh menjadi relevan di pentas global apabila diplomasi digerakkan dengan tepat, masa dan tekanan antarabangsa jadi aset.
Gencatan senjata 24 jam ini mungkin singkat, namun cukup untuk memecah kebuntuan. Buat ASEAN, ini bukan sekadar rundingan, ini adalah detik permulaan.