fb fb fb fb fb

Perintah kehadiran wajib pesalah kurangkan kesesakan penjara

Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Julai - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2025 bagi mengurangkan kesesakan di penjara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, setakat 22 Julai lepas, terdapat 83,827 banduan berada di dalam fasiliti penjara, manakala 5,759 lagi sedang menjalani pemulihan dalam komuniti.

"Bagaimanapun, kalau kita lihat kapasiti ideal sebenar yang dapat ditampung oleh fasiliti Jabatan Penjara Malaysia adalah seramai 76,311 banduan sahaja," katanya ketika menggulung perbahasan RUU itu.

Datuk Seri Shamsul Anuar berkata, isu kesesakan di penjara boleh menyebabkan persekitaran yang tidak kondusif.

Malah, turut memberikan implikasi negatif seperti risiko penyebaran penyakit dalam kalangan banduan serta kakitangan penjara.

"Keadaan itu juga boleh menyebabkan pengurangan keberkesanan program pemulihan penjara disebabkan kesesakan, risiko keselamatan akibat kejadian luar biasa seperti rusuhan dan mogok.

Ia juga meningkatkan bebanan kewangan kerajaan," katanya lagi.

Pindaan RUU itu membenarkan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) diberikan kepada pesalah yang disabitkan dengan kesalahan yang dikenakan hukuman pemenjaraan tidak melebihi 10 tahun berbanding tempoh tidak melebihi tiga tahun ketika ini.

Menurut beliau jumlah pesalah PKW dari 2010 hingga kini, melibatkan seramai 8,227 pesalah dengan kejayaan 94.5 peratus manakala hanya 5.25 peratus dikenakan batal perintah.

"Antara modul yang dilaksanakan menerusi PKW adalah program intervensi, kerohanian, kaunseling, keagamaan dan kursus berkaitan," jelasnya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN