fb fb fb fb fb

PM gesa KKM segerakan pengisian 4,000 kekosongan jawatan doktor

Foto hiasan

PUTRAJAYA, 25 Julai - Kementerian Kesihatan digesa mempercepat proses pengisian kekosongan 4,000 jawatan doktor yang dijadual dipenuhi pada penghujung November tahun ini.

Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan, perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi Mesyuarat Jemaah Menteri.

"Pada mulanya, pihak Kementerian Kesihatan menjangkakan kebanyakan ataupun kesemua daripada jawatan ini akan dapat diisi menjelang bulan November. Tetapi, Perdana Menteri berpandangan, ini terlalu lewat. Jadi, akan dipercepat proses tersebut.

Beliau memaklumkan, Perdana Menteri turut menggesa supaya KKM meneliti semula sebarang prosedur melibatkan karenah birokrasi, yang memungkinkan kelewatan proses pengisian perjawatan berkenaan.

"Kalau ikutkan Perdana Menteri, kalau boleh semalam dah siap. Tetapi ada sedikit proses, cuma beliau telah meminta supaya proses yang biasa itu diteliti, memandangkan ada keperluan yang mendesak untuk mengisi 4,000 kekosongan, bukan satu jumlah yang kecil. Maka perlu dipercepat.

"... dan Menteri Kesihatan telah memberikan komitmen bahawa proses ini akan diringkaskan tanpa menjejaskan dari segi prosedurnya dan akan dipercepat," katanya pada Sidang Media Mingguan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya.

ROSLINA BINTI DIN