KUALA LUMPUR , 25 Julai - Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan 4,184 rondaan darat dan 645 penerbangan dron bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyumbang kepada jerebu sejak awal tahun hingga semalam.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata bagi tempoh sama, JAS mengeluarkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan mengenakan 59 kompaun ke atas pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.
"JAS menyarankan pemilik tanah memantau secara rapi kawasan yang mudah terbakar seperti tapak pelupusan sampah,hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri serta mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka bertujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) dari semasa ke semasa.
Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff memaklumkan Kuching, Sarawak dan Johan Setia, Selangor merupakan dua kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat dengan bacaan IPU 111 dan 152 sekitar pada pukul 3.00 petang tadi.
"Lima kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, 61 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana," jelasnya.
Kemerosotan kualiti udara di kedua-dua kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan dan tiada kebakaran besar berlaku yang boleh menyebabkan jerebu setempat.