fb fb fb fb fb

Beruang matahari seberat 100kg ditangkap di Dungun

Beruang matahari seberat 100kg yang dikesan berkeliaran di Kampung Pin, Dungun berjaya ditangkap PERHILITAN.

DUNGUN, 25 Julai – Kegusaran lebih 200 penduduk Kampung Ping di sini berakhir selepas seekor beruang matahari yang dikesan berkeliaran di kawasan itu sejak dua minggu lalu ditangkap, lewat malam tadi.

Beruang jantan seberat kira-kira 100 kilogram itu ditangkap menggunakan perangkap khas yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) selepas menerima aduan daripada penduduk.

Haiwan itu dilaporkan merosakkan hasil tanaman penduduk seperti durian dan nangka yang hampir dituai.

Situasi itu memaksa sebahagian mereka menghentikan sementara aktiviti di kebun dan memilih berkurung di rumah kerana bimbang dengan ancaman keselamatan.

Seorang penduduk, Tuan Rashid Tuan Kob berkata, penduduk kini lebih tenang selepas haiwan tersebut ditangkap.

“Orang kampung dah tak berapa takut, buah durian pun dah boleh makan… dulu risau juga kalau dia serang budak-budak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Salahudin Hamzah pula bersyukur dan berterima kasih kepada pihak PERHILITAN kerana bertindak pantas menangani situasi itu.

“Masalah binatang ni selesai, kami pun lega sangat… Alhamdulillah, terima kasih banyak pada PERHILITAN,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Terengganu, Loo Kean Seong memaklumkan, beruang tersebut akan dilepaskan semula ke habitat yang sesuai bagi menjamin kelangsungan hidup spesies itu.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN