JOHOR BAHRU, 25 Julai- Johor terus komited memastikan lebih ramai rakyat memiliki rumah mampu milik, khususnya golongan B40.
Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hampir 35 peratus rumah yang dijual di Johor kini berharga bawah RM300,000.
Sebanyak 17,741 unit rumah telah siap dibina setakat ini, sebagai sebahagian daripada sasaran 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2030.
"Sebanyak 30 ribu unit disiapkan bagi fasa pertama dan 70 ribu unit bagi fasa kedua. Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Jafni, sebanyak 17,741 unit telah siap dibina.
Satu pencapaian yang cukup membanggakan, termasuk lima projek yang kini telah siap sepenuhnya dan sudah diduduki," kata Datuk Onn Hafiz, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Ekspo Hartanah Johor (JPEX) di Johor Bahru.
Kerajaan negeri turut bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pemaju untuk memastikan rakyat benar-benar menikmati manfaat pembangunan ekonomi Johor.