JERLUN, 25 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan negeri dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bertindak segera secara bersepadu bagi menjayakan program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun.
Beliau berkata, inisiatif itu penting untuk meningkatkan keupayaan pesawah tempatan, selain memastikan hasil tuaian padi negara kekal mampan.
Katanya menerusi kenyataan, inisiatif itu dekat dihatinya. Justeru, beliau mahukan pelaksanaan yang pantas dan penyelarasan yang berkesan amat penting untuk menjayakan projek tersebut.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar meninjau kemajuan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam dua tahun di Kawasan Muda, di Batu 7, Kampung Kemboja, Ayer Hitam.
Beliau yakin ikhtiar berani Kerajaan MADANI itu akan membawa reformasi menyeluruh kepada ekosistem industri padi dan beras negara, selain mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh kadar sara diri beras negara.
Katanya, Kerajaan MADANI sentiasa mendengar suara pesawah, memahami keperluan mereka dan berazam untuk terus memperkasa sektor tersebut melalui pelbagai sokongan serta inisiatif berterusan.
Usaha itu membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kerajaan membela nasib pesawah yang menjadi tulang belakang sektor agromakanan negara.
Lawatan tersebut merupakan kunjungan kali kedua Perdana Menteri ke tapak projek berkenaan bagi meninjau kemajuan semasa pembangunan infrastruktur pertanian sebagai persediaan ke arah pelaksanaan pertanian pintar, selari dengan usaha kerajaan memperkukuh bekalan makanan negara dan meningkatkan pengeluaran beras tempatan.