fb fb fb fb fb

PM akan umum senarai kabinet petang ini

IPOH, 2 Disember- Senarai barisan jemaah menteri akan diumumkan petang ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senarai penuh kabinet telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pagi tadi untuk perkenan agar lantikan segera dapat dilaksana.

“Pilihan kita terbatas kerana seperti saya umum sebelum ini, kita tidak mahu terlalu ramai menteri atau duta bertaraf menteri supaya perbelanjaan dapat dikurangkan.

Saya mohon mereka ini kekal berkhidmat agar kita dapat memberikan fokus dan tumpuan kepada ekonomi,” katanya ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat di sini yang dihadiri ribuan pengunjung.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Tambah beliau, satu mesyuarat khas akan diadakan Isnin depan melibatkan barisan jemaah menteri yang baharu dilantik.

Datuk Seri Anwar berkata, ia bagi membincangkan mengenai beberapa ketetapan dan peraturan membabitkan tatacara mengurus kementerian.

"Keutamaan sebaik disusun jemaah menteri saya akan panggil mesyuarat khas untuk menetapkan beberapa peraturan.

Ia bagi bantu jemaah menteri cara mereka mengurus kementerian, cara mendamping dan bekerjasama dengan penjawat awam," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi pendirian bahawa kekuatan pimpinan politik dan penjawat awam perlu diperkukuh bagi mempercepat pembangunan negara.

"Ada kekuatan kita manfaatkan, ada kelemahan kita ketepikan, ada masalah pembaziran, rasuah mesti dihentikan," katanya lagi.

Datuk Seri Anwar turut menjelaskan, kerajaan perlu memulihkan ekonomi selain menyediakan pendidikan lebih bermutu dan menangani masalah kos sara hidup supaya lebih terkawal.

Selain, memastikan kemudahan kesihatan dan prasarana berada dalam keadaan yang lebih baik.

"Saya bersyukur kepada Allah kerana kita telah pulihkan sedikit keyakinan pelabur antarabangsa dan dalam negara, malah ringgit juga diperkuat.

Bila ringgit diperkuat, maknanya kos import akan berkurang seterusnya kos barang makanan seperti ayam ternakan dan baja dapat dikurangkan," katanya lagi.

Media Baharu