IPOH, 13 November -Kerajaan Negeri Perak memberi tumpuan kepada kerja penyelenggaraan jalan, longkang dan parit bagi memastikan sistem saliran lancar menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL).
Langkah itu bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan hotspot seluruh negeri.
Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, usaha tersebut dilaksana melalui kerjasama agensi teknikal dan pihak berkuasa tempatan, termasuk program gotong-royong pembersihan kawasan berisiko.
Jelas beliau, fokus utama melibatkan pemeriksaan bawah jambatan bagi memastikan tiada sisa yang menghalang aliran air.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) akan pastikan tiada halangan atau sampah terkumpul di bawah jambatan.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula memastikan longkang dan laluan air sentiasa dicuci supaya aliran kekal lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program CSR Kesiapsiagaan MTL anjuran JKR Perak di FT001 Jalan Ipoh–Tanjung Malim di sini.
Datuk Seri Mohammad Nizar turut memaklumkan bahawa JKR akan memantau kawasan berbukit dan cerun bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh yang boleh menjejaskan laluan utama sepanjang musim hujan.