fb fb fb fb fb

Guru agama, guru al-Quran di Pulau Pinang terima wang saguhati

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid menyerahkan sumbangan kepada guru agama di Pulau Pinang hari ini

PULAU PINANG, 13 November — Seramai 1,733 guru agama dan guru al-Quran di Pulau Pinang masing-masing menerima RM1,000 dan RM800 secara sekali beri, melibatkan jumlah keseluruhan RM1.47 juta yang disalurkan dalam Majlis Apresiasi Guru Agama, Guru Al-Quran dan Anugerah Wakil Kutipan hari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata turut menerima sumbangan ialah 27 wakil agensi kutipan zakat, dengan setiap individu menerima RM500.

“Majlis apresiasi ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang mendidik anak-anak Islam dan memberi asas ilmu yang kuat, selaras penekanan Malaysia Madani.

"Sumbangan ini juga menyuntik semangat mereka terus berkhidmat, termasuk meningkatkan kutipan zakat negeri, ” katanya dalam ucapan Majlis Apresiasi Guru Agama, Guru Al- Quran dan Anugerah Wakil Kutipan di Perai, di sini hari ini.

Beliau berkata penganjuran program itu diharap dapat melonjakkan lagi prestasi kutipan zakat, yang disasarkan mencecah RM200 juta pada tahun ini berbanding RM172.8 juta tahun lalu.

“Setakat Oktober, kutipan kita telah melebihi RM15 juta daripada sasaran bulanan. Dengan prestasi ini, kami optimis sasaran RM200 juta kutipan 2025 boleh dicapai, ” katanya.

Beliau menambah, kutipan zakat yang diperoleh akan disalurkan kembali kepada asnaf selaras dengan Agenda Pembangunan Agama Islam 2030.

GRACE AISYAH KEDAYAN