TUMPAT, 13 November — Empat kenderaan perisai Armoured Personnel Carrier (APC) yang diterima Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Ogos lalu mula menjalani uji pandu melibatkan semua kawasan tanggungjawab PGA di Semenanjung.
Jelajah yang bermula Isnin lalu di Briged Tengah Cheras PGA, Kuala Lumpur, dijangka berakhir pada 17 November di Batalion 6, Muar, Johor.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Ijid Landu Binju berkata konvoi uji pandu yang turut disertai lima pacuan empat roda tiba di Markas Kompeni Taktikal (Martek), Pengkalan Kubor hari ini.
Beliau berkata konvoi berkenaan bertujuan menguji kemampuan fizikal aset itu serta sistem komunikasi yang dipasang.
“Aset ini sangat membantu dalam pengoperasian, berfungsi sebagai benteng kepada anggota infantri dalam situasi genting. Ia mampu bertahan daripada serangan bersenjata dan menjadi perlindungan ketika anggota menjalankan penugasan,” katanya pada sidang media di Martek hari ini.
Menurutnya, kenderaan APC berharga RM2.7 juta seunit itu boleh memuatkan lapan penumpang dan memberi perlindungan lebih selamat untuk ke kawasan operasi, sekali gus mengurangkan risiko serangan hendap.
Beliau menambah aset baharu itu akan memperkukuh tugas pengawasan, rondaan dan penguatkuasaan PGA dalam menghadapi sebarang ancaman.