fb fb fb fb fb

PM dijangka guna Bahasa Melayu dalam mesyuarat dan pertemuan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 24 Mac- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka akan menggunakan Bahasa Melayu dalam mesyuarat dan pertemuan antarabangsa, termasuk sidang kemucak ASEAN dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, Kementerian Luar Negeri (KLN) akan melakukan perkara khususnya persedian-persediaan perlu dalam keadaan segera dalam dua bidang iaitu Penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan pegawai diplomat dan penguasaan bahasa asing dalam kalangan pegawai diplomat. 

Jelas menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, KLN juga meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu laras bidang perhubungan antarabangsa dalam kalangan diplomat negara manakala penguasaan bahasa asing ialah memberi tumpuan kepada lima bahasa yang digunakan di Pertubuhan Bangsa Bersatu iaitu Bahasa Arab, Bahasa Perancis, Bahasa Mandarin, Bahasa Rusia dan Bahasa Sepanyol.

Walaupun sudah ada diplomat yang boleh menutur 5 bahasa asing tersebut, namun jumlahnya harus dilonjakkan.

"Dari segi terjemahan Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris dan sebaliknya itu tidak ada masalah tetapi kita belum mempunyai persediaan yang secukupnya untuk menyediakan penterjemah dari Bahasa Melayu ke Thailand dan sebaliknya."

"Walaupun baru-baru ini kita ada seorang interin di KLN menjadi penterjemah tetapi di Kemboja dan Vietnam kita tidak ada wakil penterjemah daripada kalangan kita. Walaupun ada penterjemah profesional di luar tapi oleh kerana ini membabitkan hubungan bilateral dan mesyuarat tertutup yang ada kalanya membabitkan rahsia kerajaan. Kami tidak boleh menggunakan khidmat penterjemah profesional dengan serta merta," kata Saifuddin dalam sidang media di parlimen.


(Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan perkara tersebut dalam sidang media di parlimen hari ini)

Tambahnya lagi, KLN akan berbincang dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan kembali elaun bahasa ketiga sebagai motivasi pegawai KLN termasuk dalam kementerian lain yang ingin belajar bahasa asing dan atase kebudayaan.

Beberapa perancangan lain yang digariskan KLN termasuk meneliti keperluan menubuhkan Unit Penterjemah di Wisma Putra selain mewujudkan jawatan Atase Bahasa & Kebudayaan di kedutaan.

Media Baharu