fb fb fb fb fb

PM dijadual bertemu Modi, Abiy Ahmed di luar Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi di Muzium Seni Moden selepas menyampaikan Kenyataan Negara beliau di sidang kemuncak tersebut. - Foto Facebook Wisma Putra

RIO DE JANEIRO, 6 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari India dan Ethiopia semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS di sini.

Pertemuan itu akan berlangsung di luar acara utama sidang kemuncak berkenaan pada Ahad (Isnin di Malaysia).

Datuk Seri Anwar, yang tiba di sini pada Sabtu, dijadual bertemu Perdana Menteri India, Narendra Modi di Muzium Seni Moden selepas menyampaikan Kenyataan Negara beliau di sidang kemuncak tersebut.

Kedua-dua pemimpin sebelum ini pernah mengadakan pertemuan pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-21 di Laos, tahun lepas.

Datuk Seri Anwar turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed Ali.

Perdana Menteri akan disertai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz semasa pertemuan tersebut.

Hari kedua lawatan rasmi Perdana Menteri ke bandar raya kedua terbesar di Brazil itu dijangka padat, dimulakan dengan pertemuan bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Embraer, Francisco Gomes Neto.

Beribu pejabat di Brazil, Embraer merupakan pengeluar pesawat terkemuka yang turut menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, pada Mei lepas.

Datuk Seri Anwar turut dijadual menerima kunjungan hormat daripada Presiden Bank Pembangunan Baharu (NDB) Dilma Rousseff.

Penyertaan Malaysia dalam sidang kemuncak ini adalah atas kapasiti sebagai Negara Rakan BRICS serta Pengerusi ASEAN 2025.

Malaysia secara rasmi menjadi Negara Rakan BRICS pada 1 Januari tahun ini. -BERNAMA

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI