PUTRAJAYA, 6 Julai – Seramai 750 peserta menyertai 'World Family Doctor Day (WFDD) 2025 FitCPR Run 2025', menjadikannya program latihan resusitasi kardiopulmonari (CPR) komuniti terbesar yang pernah dianjurkan di negara ini.
Bertempat di Bangunan Akademi Perubatan Malaysia, acara ini bukan sekadar larian santai, malah menjadi platform memperkasa masyarakat dengan ilmu menyelamatkan nyawa melalui latihan CPR secara besar-besaran, yang turut mencatat pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sambutan tahun ini bertemakan 'Mind & Heart in Motion: Run, Breathe, Rescue!' yang menekankan kepentingan kesejahteraan menyeluruh.
“Kita menuju amalan 'Satu Doktor, Satu Keluarga', kita harap ia akan menjadi budaya dan semua orang perlu bersedia, sekurang-kurangnya setiap keluarga perlu ada seorang yang pandai CPR, ” beliau berkata demikian selepas merasmikan program FitCPR Run 2025, di sini hari ini.
Acara ini merangkumi larian 3 dan 5 kilometer, pemeriksaan kesihatan, zon kesihatan mental, persembahan pentas serta latihan FitCPR berkonsepkan lima langkah mudah dikenali sebagai 5T.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkenalkan undang-undang seperti Samaritan Law bagi melindungi individu yang memberi bantuan kecemasan, sekaligus mendorong lebih ramai rakyat untuk bertindak pantas dalam situasi kritikal seperti serangan jantung di luar hospital.
Sambutan WFDD adalah inisiatif tahunan global yang diangkat oleh 'World Organization of Family Doctors (WONCA)', dan disambut pada setiap 19 Mei.
FitCPR Run 2025 membuktikan komitmen pelbagai pihak dalam mengangkat nilai kesihatan primer, memperkukuh jaringan sosial, serta menyemai semangat kesiapsiagaan dalam kalangan rakyat, seiring aspirasi “1 Keluarga, 1 Penyelamat”.