GEORGE TOWN, 6 Julai- Sambutan Hari Warisan George Town kali ini lebih meriah dengan pembukaan premis rumah yang telah diubah suai kepada orang ramai.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia berikutan pemilik premis, kediaman dan rumah ibadat bersetuju untuk menyambut kehadiran orang ramai ke George Town, selain melawat destinasi sedia ada.
"Apa yang berbeza adalah pada hari Isnin, rumah-rumah yang dibaik pulih, kita minta mereka 'buka pintu' mereka. Tema pada sambutan ini adalah "Door and Doorways, selamat datang untuk masuk, menikmati bangunan-bangunan yang dibaik pulih. Dengan dana yang disumbang oleh Kerajaan Persekutuan dan sebahagian besar sudah siap", katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir dalam Majlis Sambutan Hari Warisan GeorgeTown di Lebuh Pantai.
Hadir sama Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying.
Chow meluangkan masa kira-kira dua jam melawat semua kios yang didirikan orang awam, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan bagi mempromosikan George Town sebagai sebagai tapak warisan dunia.
Hampir 20,000 pengunjung dalam dan luar negara hadir bagi memeriahkan sambutan berprestij ini yang berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Julai 2025.
Sebagai penghargaan terhadap pengiktirafan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut mengisytiharkan 7 Julai sebagai cuti umum negeri setiap tahun.