fb fb fb fb fb

SAR hari kedua diteruskan, cari enam mangsa masih hilang

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Empat Sibu, Andy Alie (tengah)

MUKAH, 6 Julai- Hari kedua operasi mencari dan menyelamat, (SAR) diteruskan hari ini untuk mencari enam mangsa, termasuk seorang kanak-kanak lelaki, masih hilang dalam tragedi bot karam di Kampung Belawai, Tanjung Manis, di Mukah petang semalam.

Ia melibatkan 45 anggota pelbagai agensi, termasuk dua pasukan penyelam dan Unit K-9 Bomba.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Empat Sibu, Andy Alie berkata, SAR turut dibantu 39 penduduk kampung dengan 18 bot.

Fokus utama operasi hari ini melibatkan pencarian di permukaan air, berikutan arus deras dan perubahan paras air yang tidak menentu.

"Hasil daripada maklumat daripada pihak saksi dan pihak polis, jumlah mangsa yang masih hilang seramai enam orang termasuk seorang kanak-kanak.

"Radius pencarian pada hari kedua, diperluas kepada lima kilometer. Ia merangkumi kawasan di muara sungai dan hulu sungai," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Dalam kejadian kira-kira 2.11 minit petang semalam, sebuah bot membawa 17 penumpang warga Indonesia karam.

Empat mangsa disahkan meninggal dunia, enam lagi masih hilang, manakala tujuh lagi berjaya diselamatkan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI