TANJUNG MALIM, 12 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan agar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terletak dalam Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV), membangunkan sebuah pusat latihan dan penyelidikan iaitu Center of Advanced Automotive Research and Training (CAART).
Ismail Sabri berkata, ini bagi memenuhi keperluan dari segi tenaga kerja terlatih, pendidikan, dan juga penyelidikan.
"Dilengkapi dengan bilik kuliah, kemudahan penginapan dan makmal berteknologi tinggi, CAART di UPSI ini akan memberikan tumpuan kepada penyelidikan, latihan kemahiran, pembangunan sumber manusia, serta penyelenggaraan yang berkaitan dengan teknologi automotif terkini.
"Ini bagi memastikan permintaan dan bekalan dari segi teknologi terkini, latihan serta sumber tenaga manusia di Automotive High Tech Valley dapat dilestarikan secara produktif," katanya dalam ucapan pelancaran AHTV di sini hari ini.
Menurut Ismail, apabila projek pembangunan AHTV sudah beroperasi kelak, dijangka mampu menjana peluang pekerjaan sebanyak 370,000 sepanjang pembinaannya.
Katanya, dengan hala tuju yang dibuat secara teliti, AHTV akan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk tempatan, malah kepada negara Malaysia amnya.
"Pembangunan AHTV ini dapat memberi tumpuan kepada kemajuan kenderaan elektrik yang menjadi hala tuju masa depan industri automotif dengan memanfaatkan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi mutakhir.
"Pembangunan ini juga dilihat dapat menarik minat pelabur-pelabur asing khususnya dari China dan negara lain kerana berpotensi memperkasakan ekosistem dunia automotif dalam satu kawasan yang besar.
"Jika di negara lain seperti Amerika Syarikat boleh bangga dengan Detroit, sebuah daerah yang terkenal dengan industri pembuatan keretanya, tidak mustahil satu hari nanti, Tanjung Malim akan dikenali sebagai hab permotoran yang hebat di rantau ini," katanya.
Pelancaran itu turut dihadiri, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan pelan pembangunan Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim)