KUALA LUMPUR, 13 April- Selepas sambutan sederhana selama dua tahun berikutan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ketat, masyarakat Tamil, Sikh dan Malayali tahun ini dapat merayakan perayaan utama masing-masing pada 14 dan 15 April ini dengan meriah.
Chittirai Puttandu iaitu Tahun Baharu bagi kaum Tamil dan Vaisakhi bagi penganut Sikh akan disambut esok manakala Vishu bagi masyarakat Malayali pada Jumaat.
Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S Mohan Shan berkata, kaum Tamil dijangka menyambut Tahun Baharu secara besar-besaran di seluruh negara bagi meraikan permulaan baharu masyarakat India, setelah negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik pada 1 April lepas.
Beliau berkata susulan fasa itu juga, kaum Tamil kini boleh menghadiri aktiviti sembahyang di kuil tanpa penjarakan fizikal.
“Tahun ini dikenali sebagai Tahun Subakiruthu dan ia bermula esok pada pukul 10.24 pagi,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi. Kehadiran bulan Tamil Chittirai disambut setiap tahun pada hari pertama dalam kalendar matahari Tamil.
Fasa Peralihan ke Endemik yang bermula pada 1 April membolehkan rakyat Malaysia menikmati kelonggaran dengan pelaksanaan satu SOP dan sembilan garis panduan yang diringkaskan daripada 181 keperluan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke arah kembali kepada kehidupan normal.
Sementara itu, Presiden Persatuan Kebudayaan & Tradisional Hindu Malayalee Malaysia (PAKAR Malayalee Malaysia) Dr N.R Nambiar berkata tahun ini akan lebih bermakna apabila semua berpeluang meraikan Vishu bersama keluarga, tidak seperti tahun lepas atau pada 2020.
“Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 dua tahun lepas, kita tidak dapat menyambutnya bersama keluarga. Kebanyakannya merayakan secara maya tetapi tahun ini semua orang dapat berkumpul di rumah ibu bapa dan menyediakan Vishukkani, yang membabitkan pelbagai barangan membawa tuah, dengan bunga-bungaan, Tulasi (daun selasih suci), Konnapoo (bunga cassia fistula), bijirin, beras dan cermin,” katanya.
Beliau berkata menurut panjangam (almanak) rasmi Sri Guruvayoorappan Devaswom Kerala; Kerala Mathrubumi Panjangam; Kerala Valya Panjangam dan Kerala Manorama Panjangam, Vishu akan disambut pada 15 April.
Vishu menandakan hari pertama Zodiak Tahun Baharu, hari pertama bagi bulan dipanggil Medam.
(Foto fail)
Menurut Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia Dr Jasbir Singh, kira-kira 120,000 kaum Sikh di Malaysia menyambut perayaan Vaisakhi esok dengan mengunjungi Gurdwara, lokasi sambutan besar-besaran yang akan berlangsung bermula hari ini hingga 17 April.
“Beberapa Gurdwara menganjurkan permainan kecil, gerai untuk sambutan perayaan ini. Saya menasihatkan semua masyarakat Sikh supaya terus mematuhi SOP ketika menyambut hari yang mulia ini,” katanya.
Vaisakhi merupakan hari suci bagi memperingati kelahiran atau penubuhan Khalsa oleh Guru Gobind Singh Ji, Guru Sikh ke-10 pada 1699.
Tinjauan di Little India, Brickfields dan Little India di Jalan Tengku Kelana, Klang mendapati ramai masyarakat India membuat persiapan akhir untuk perayaan itu dengan membeli barangan seperti bunga, buah, barangan untuk sembahyang dan ‘thoranam’ (hiasan gantungan yang diperbuat daripada daun kelapa).
Pemerhatian dalam media sosial juga melihat kaum India teruja dengan dua filem India selatan yang dinanti-nantikan iaitu Beast lakonan Thalapathy Vijay dan KGF: Chapter 2 lakonan bintang Kannada, Yash dijangka ditayangkan di pawagam masing-masing pada hari ini dan esok.