fb fb fb fb fb

3,281 calon gagal melepasi tapisan lantikan tetap pegawai perubatan dirujuk kepada KKM

PUTRAJAYA, 12 April - Seramai 3,281 yang tidak melepasi tapisan bagi permohonan pelantikan tetap jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43/UD41 akan dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk proses tapisan akhir berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) melalui satu kenyataan media hari ini memaklumkan, sekiranya semakan daripada KKM mendapati calon tersebut memenuhi semua syarat yang ditetapkan status calon akan dikemaskini dalam SPA9 dan akan dipanggil temu duga.

"Calon boleh menyemak status terkini permohonan mulai 22 April 2022 pada Jumaat," katanya bagi menjawab keluhan ketidakpuasan hati calon berstatus tidak melepasi tapisan ditetapkan SPA.

Menurut kenyataan itu lagi, Suruhanjaya itu juga bersetuju mengeluarkan pilihan senarai pendaftaran penuh atau sementara dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) daripada proses permohonan ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD43/41.

"Oleh itu, KKM perlu membuat semakan pengesahan pendaftaran penuh dengan MMC ke atas setiap calon yang akan dikemukakan oleh SPA," katanya pada Selasa.

(FOTO hiasan)

SPA memaklumkan pada 16 Mac lalu, sejumlah 10,593 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,281 didapati tidak melepasi tapisan kerana tiada maklumat pendaftaran penuh dengan MMC dan bidang pengkhususan perubatan yang merupakan syarat wajib untuk lantikan tetap.

Tambahnya, 1,587 calon pula didapati tidak melepasi syarat khusus ditetapkan oleh KKM iaitu calon telah dilantik kontrak (Contract of Service) berdasarkan Surat Pekeliling Ketua Setiausaha KKM Bilangan 4 Tahun 2016 dan sudah menamatkan latihan siswazah di dalam atau di luar negara.

Katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, punca calon tidak melepasi tapisan kerana maklumat pendaftaran penuh tidak dilengkapkan atau mengisi pendaftaran sementara dengan MPM; pemilihan bidang pengkhususan yang tidak tepat.

Syarat lain ditetapkan katanya, calon adalah lantikan kontrak mulai 2016 hingga 2018 saja, calon tidak pernah meletak jawatan, tidak pernah ditamatkan perkhidmatan dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tempoh kontrak serta calon tidak pernah menolak tawaran pelantikan tetap.

"Tapisan dilaksanakan bagi memastikan hanya calon yang mempunyai kelayakan yang ditetapkan sahaja dipanggil untuk temu duga," katanya.

Sebarang pertanyaan, calon boleh menghubungi Unit Perubatan, Bahagian Pengambilan, SPA di talian 03-8091 9000/9415 (waktu pejabat) atau e-mel Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya..

Media Baharu