fb fb fb fb fb

PM buat tinjauan mengejut harga barang

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melakukan tinjauan mengejut buat pertama kali berkaitan situasi harga barangan di sebuah pasar raya di ibu negara.

Beliau berkata akan melakukan lebih banyak tinjauan sama selepas ini bagi memastikan tiada pencatutan harga barang oleh peniaga sebelum tarikh penamatan subsidi ayam dan beberapa barangan lain pada 1 Julai.


(Datuk Seri Ismail Sabri melakukan tinjauan mengejut berkaitan situasi harga barang
di sebuah pasar raya di ibu negara)

Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat khas dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) esok berhubung isu bekalan serta harga siling baharu ayam di pasaran.

Perdana Menteri berkata pada mesyuarat itu, beliau akan memaklumkan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa harga barangan tidak seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk kenaikan beberapa produk lain seperti ikan.

“Saya harap MAFI boleh ambil tindakan dan KPDNHEP juga boleh mengenakan tindakan tegas kalau ada pencatutan yang melampau,” katanya.

Ketika tinjauan itu, beliau turut meluangkan masa mendengar suara dan keluhan rakyat yang membeli-belah di pasar raya tersebut.

Katanya rata-rata rakyat yang ditemui mengadu mengenai kenaikan harga barangan ketika ini.- BERNAMA

Media Baharu