fb fb fb fb fb

Kadar muflis golongan muda membimbangkan- PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan kebimbangan berkaitan trend kebankrapan melibatkan golongan muda di negara ini dan berhasrat untuk mengkaji semula undang undang berkaitan perkara tersebut.

Susulan itu, beliau akan berbincang dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd. Yunus mengenai masalah ini.

"Saya juga bimbang melihat kepada jumlah yang ada ketika ini dan bimbang jika jumlah itu meningkat. Kerajaan pernah menaikkan ambang sewaktu pandemik dahulu untuk menangguhkan undang undang yang melibatkan kebankrapan dan ambang telah dikaji semula", katanya ketika berucap merasmikan penutup Karnival Kerjaya Barisan Nasional Tahun 2022 di sini, hari ini.

"Insya-Allah, saya akan berbincang dengan Menteri Undang-Undang dan melihat akta serta undang undang tersebut dan saya juga akan berjumpa Gabenor Bank Negara untuk melihat dari segi undang undang jika boleh ditangguhkan lagi", katanya.


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap merasmikan penutup
Karnival Kerjaya Barisan Nasional Tahun 2022)

Kerajaan sebelum ini pernah menaikkan nilai ambang kebankrapan daripada RM50,000 kepada RM100,000 dan menangguhkan tindakan undang undang pada tahun 2020 berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara pada ketika itu.

Bagaimanapun, nilai tersebut kemudiannya diturunkan semula.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lepas telah menjadi titik tolak kepada pemulihan ekonomi negara yang kini berada pada momentum yang baik, sekali gus menurunkan kadar pengangguran di negara ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sehingga April 2022, kadar pengangguran negara berjaya diturunkan kepada 3.9 peratus, berbanding 4.6 peratus bagi tempoh sama tahun lepas.

"Ini merupakan kali pertama kadar pengangguran menurun di bawah empat peratus sejak pandemik COVID-19 dengan bilangan penganggur kekal pada trend menurun bagi sembilan bulan berturut-turut," katanya.

"Pada tahun ini, kerajaan menyasarkan peluang pekerjaan sehingga 600,000 dengan peruntukan sebnayak RM4.8 bilion melalui Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

"Menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) juga, saya telah membentangkan Pelan Jangka Sederhana bagi sektor pekerjaan negara menerusi Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang akan diperkenalkan bagi menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh", katanya.

Perdana Menteri berkata, berdasarkan Laporan Tenaga Buruh Malaysia, DOSM, hampir 3,000 graduan telah berjaya ditempatkan melalui Program Peningkatan Kerjaya Kementerian Pengajian Tinggi.

Sehingga 8 Mei lalu, MyDigitalWorkforce in Tech (MYWiT) berjaya menempatkan seramai 649 peserta daripada 3,596 pemohon termasuk belia dalam pekerjaan teknologi dan perkhidmatan digital.

Media Baharu