DOHA, 14 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berangkat ke Doha, Qatar bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang dijadual berlangsung esok.
Menurut Anwar, beliau akan menyampaikan Kenyataan Negara bagi menzahirkan solidariti Malaysia terhadap Qatar yang menjadi mangsa serangan rejim Zionis Israel.
“Serangan terhadap Qatar ini jelas membuktikan bahawa kezaliman Zionis tidak terbatas. Ia bukan sahaja menindas rakyat Palestin sejak puluhan tahun, malah kini mengancam kedaulatan negara-negara Arab dan Islam seluruhnya.
Jika Qatar boleh diserang, maka tiada negara yang benar-benar selamat daripada ancaman mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan zalim berkenaan, selain berdiri teguh bersama Qatar, Palestin serta seluruh masyarakat antarabangsa yang cintakan keamanan dan keadilan.
“Inilah saatnya untuk dunia Arab-Islam dan masyarakat antarabangsa bangkit bersatu mempertahankan maruah, menghentikan keganasan dan menjamin keselamatan sejagat.
“Malaysia tidak akan tunduk, tidak akan goyah, dan tidak akan berdiam diri selagi penindasan ini berterusan. Malaysia tetap berdiri bersama rakyat Palestin yang dizalimi,” jelasnya.
Datuk Seri Anwar menghadiri sidang kemuncak tergempar itu atas jemputan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani susulan perkembangan terkini membabitkan serangan Israel terhadap negara itu.
Delegasi negara disertai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, pegawai-pegawai kanan Kementerian Luar dan kemudian akan disertai Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika di Qatar.
Hadir mengiringi Perdana Menteri di Pangkalan Udara TUDM ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.