fb fb fb fb fb

Festival Layang-layang antarabangsa Kuantan, tarik lebih 20,000 pengunjung

Foto RTM

KUANTAN, 14 September - Festival Layang-Layang Antarabangsa Kuantan 2025 di Pantai Sepat yang berlangsung sejak Khamis lalu berjaya menarik lebih 20,000 pengunjung tempatan dan luar negara.

Festival berkenaan turut menarik 25 peserta antarabangsa dari 12 buah negara termasuk Indonesia, Jepun, Korea, Ukraine, Filipina, Hong Kong, Thailand dan Vietnam serta 24 peserta dari dalam negara.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penganjuran bagi tahun ketiga itu kini menjadi antara acara utama selain mencatatkan Pahang dan bandar Kuantan dalam kalendar pelancongan negara.

Teks ucapannya dibacakan oleh Datuk Bandar, Datuk Zaliza Zulkipli.

Tambahnya, kehadiran ribuan pengunjung itu memberi impak besar kepada sosioekonomi tempatan termasuk pengusaha hotel, makanan dan peniaga kecil.

"Pada 2024, Pahang menerima 13.7 juta pelancong dengan jumlah perbelanjaan dianggarkan RM12.34 bilion, meningkat hampir empat peratus berbanding 2023.

"Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang juga meningkat 5.7 peratus, lebih tinggi daripada kadar nasional 5.1 peratus", katanya. 

Festival yang berlangsung selama lima hari itu dianjurkan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Majlis Pelayang Malaysia (MPM) dan Persatuan Pelayang Pahang bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia serta Tourism Pahang.

Trainee