fb fb fb fb fb

Perak rancang bajet khas perkukuh pembangunan Lenggong

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad/ BERNAMA

PASIR SALAK, 14 September - Kerajaan Negeri Perak sedang merancang satu bajet khas bagi memperkukuh pembangunan di Lenggong, susulan pengiktirafan yang diterima daripada UNESCO Global Geopark Council baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tumpuan akan diberikan kepada penambahbaikan kemudahan pelancongan terutamanya berkaitan penginapan.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan pengiktirafan berprestij berkenaan terus kekal dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

"Beberapa buah inap desa yang ada, tetapi tidak mencukupi. Saya tengok maklumat Majlis Daerah menunjukkan jumlah kehadiran pelancong meningkatkan pendapatan dan nilai keuntungan juga kepada peniaga meningkat. Kalau ada penginapan yang mencukupi, ia lebih baik", katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar pengisyitharan tersebut dapat menjadikan Lenggong sebagai destinasi pelancongan yang hebat di peta dunia dan bukan sekadar kerana 'Perak Man'.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Program Warisan@ Pasir Salak 2025  yang berlangsung di Kompleks Pasar Tani Kekal, Kampong Gajah, Perak.

ROSLINA BINTI DIN