KUALA LUMPUR, 14 September- Sempena acara Kondattam 2025, Malaysia Book of Records (MBOR) mengiktiraf Kolam Malaysia MADANI terbesar menerusi Festival Budaya Malaysia (FBM 2025) yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.
Majlis pengiktirafan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan yang turut menyampaikan sijil serta cenderamata kepada peserta sebagai tanda penghargaan.
Kolam yang dihasilkan berkonsepkan Malaysia MADANI itu menampilkan corak dan logo Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia, selain melambangkan pembangunan holistik, kepelbagaian budaya dan penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.
FBM 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menampilkan lebih 68 segmen seni dan budaya termasuk pertandingan peringkat antarabangsa, persembahan tarian dan muzik tradisional, pameran kraf serta gerai makanan.
Penganjuran FBM 2025 bertujuan meraikan kepelbagaian budaya Malaysia serta mengeratkan semangat perpaduan nasional.