PULAU PINANG, 14 September - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berpuas hati dengan persiapan raptai penuh sambutan Hari Malaysia yang akan berlangsung pada 16 September di Pusat Konvensyen PICCA @ Butterworth Arena.
Menurutnya, persembahan berjalan lancar dengan hanya beberapa pelarasan kecil dari segi teknikal perlu diberi perhatian.
“Alhamdulillah, saya bersama pasukan telah menyaksikan raptai full dress untuk sambutan Hari Malaysia. Saya berpuas hati dengan persiapan, hanya ada beberapa pelarasan kecil dari segi teknikal. Tidak ada perkara besar, dan saya percaya pada malam 16 September nanti kita akan ada persembahan yang baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau raptai penuh sambutan tersebut. Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, dan Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Sambutan tahun ini menampilkan lima segmen utama yang menonjolkan identiti serta warisan budaya Melayu, Cina, India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak.
Pemilihan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selaras keputusan Jemaah Menteri pada 24 Jun 2020, yang menetapkan sambutan Hari Malaysia diadakan secara bergilir di seluruh negeri.