NIBONG TEBAL, 14 September - Kerajaan tidak menerima sebarang laporan, berhubung penyalahgunaan MyKad bagi penebusan bantuan atau subsidi yang disalurkan setakat ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keadaan itu membuktikan mekanisme MyKad berfungsi dengan baik sebagai medium pengesahan identiti warganegara, dalam memastikan bantuan hanya sampai kepada penerima yang layak.
“Setakat ini tidak, dan pihak Kementerian Kewangan belum memaklumkan tentang apa-apa insiden seperti itu. Itulah sebab kerajaan melihat mekanisme MyKad adalah kaedah yang baik untuk pastikan bantuan, terutama tunai atau pengesahan identiti warganegara, dilakukan melalui MyKad. Itu juga antara pendorong kepada pemilihan MyKad sebagai mekanisme apabila dilaksanakan RON95 pada harga RM1.99 seliter. Maklumat lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bakti @ Komuniti Madani Kampung Sungai Acheh di Jeti Haji Ibrahim, Nibong Tebal.
Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu, julung kali diadakan di Pulau Pinang dengan penyertaan lebih 200 komuniti MADANI daerah Seberang Perai Selatan. Ia bertujuan memperkukuh landskap kesukarelawanan selain menyemarakkan semangat kebersamaan dan perpaduan.