fb fb fb fb fb

PM beri jaminan selesai isu miskin tegar, pendidikan kaum India

(Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan menyelesaikan isu kemiskinan tegar dan pendidikan yang membelenggu kaum India di negara ini.

Jelas beliau, semua pihak perlu menolak kepentingan politik buat sementara waktu, tetapi perlu bekerjasama dalam menyelesaikan isu lebih penting seperti soal kemiskinan tegar.

"Dalam tempoh setahun, kita tidak perlu bercakap mengenai jawatan. Saya mahu menunaikan janji saya, terutamanya kepada masyarakat Melayu, India dan semua kaum yang miskin.

"Itu impian saya. Saya teruja untuk (menyelesaikan) perkara ini. Saya bersusah payah selama sedekad untuk membantu golongan miskin. Sebagai perdana menteri, saya akan lakukannya," katanya dalam pertemuan khas bersama MIC di ibu negara.

Tambah Anwar, beliau bukan perdana menteri untuk satu kaum sahaja, sebaliknya perdana menteri bagi seluruh rakyat Malaysia dan memikul tanggungjawab untuk menjaga kepentingan semua pihak.

Hadir sama dalam majlis itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; dan pimpinan kanan MIC di bahagian pusat dan bahagian.

Vigneswaran juga mengumumkan bahawa MIC akan turut berkempen bersama calon Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15), selain mengumumkan akan bekerjasama bersama Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) serta Friends of BN.

Sementara itu, komitmen perdana menteri yang mahu mengatasi masalah kemiskinan tegar dan isu pendidikan dalam kalangan masyarakat India dipuji.

"Memang memberi satu semangat kepada ahli MIC, yang mana perdana menteri telah menjanjikan beberapa isu. Bukan setakat itu, selepas 50 tahun, (Anwar menjadi) perdana menteri kedua datang ke bangunan MIC. Saya ingat (ia telah memberi) motivasi kepada ketua bahagian, ketua cawangan untuk bekerja pada PRU DUN Ke-15," Datuk T. Mohan, Naib Presiden MIC.

"Bukan saya saja, (tetapi) seluruh warga MIC rasa gembira dengan kehadiran perdana menteri ke bangunan MIC," J. Dhinagaran, Pengerusi MIC Pulau Pinang.

"Beliau (Anwar) benar-benar ingin mengambil langkah-langkah untuk menyelesaikan masalah (kemiskinan) dalam kadar segera seperti beliau janjikan pada akhir tahun 2023. Kita harus puji keberanian, ini satu keberanian dan memerlukan tindakan daripada seorang perdana menteri yang tepat pada masanya," Datuk Seri R.S. Thanenthiran, Presiden Parti Makkal Sakti.

(SA Vigneswaran, Anwar Ibrahim, Ahmad Zahid Hamidi dan M Saravanan)

Media Baharu