fb fb fb fb fb

Melaka sasar lebih 5,000 individu jalani saringan kanser percuma

(FOTO RTM)

AYER KEROH, 2 Ogos-Seramai 5,400 individu berusia 40 tahun ke atas di negeri ini disasarkan bagi menjalani saringan kanser percuma menerusi program MBio tahun ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan berkata, sasaran itu diyakini mampu dicapai berdasarkan tahap kesedaran rakyat negeri itu berkaitan pencegahan awal penyakit kanser yang semakin meningkat.

Menurutnya, setakat ini saringan telah dilakukan bagi mengenal pasti tiga kanser utama iaitu kanser prostat, kolon dan ovari.

Katanya, pada peringkat awal pelaksanaannya Februari lalu, program MyBio Sihat yang disasarkan kepada penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kurang mendapat sambutan.

Berikutan itu, Perbadanan Bioteknologi Melaka selaku agensi pelaksana mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi membuka program berkenaan secara percuma terhadap individu berusia 40 tahun ke atas.

“Menerusi peruntukan berjumlah RM540,000 yang diperolehi menerusi bajet tahun lalu, sasaran 5,400 individu menjalani saringan MBio Sihat tahun ini mampu dicapai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang ke-15, di sini, hari ini.

Fairul turut berkata, pihaknya juga menyasarkan seramai 10,000 rakyat akan mendapatkan manfaat kemudahan yang disediakan kerajaan negeri tahun depan.


(Foto Hiasan/FOTO RTM)

Media Baharu