KOTA KINABALU, 19 September- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua agensi dalam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah mempercepatkan penyelarasan proses membaik pulih kemudahan asas di lokasi terjejas banjir dan tanah runtuh di negeri itu.
Beliau menegaskan kerja baik pulih itu perlu dipercepatkan dengan pendekatan lebih fleksibel bagi mengelakkan kelewatan dalam pemulihan infrastruktur kritikal.
"Prasarana termasuk jalan raya dan Institut Pendidikan Guru (IPG) perlu diberikan keutamaan. Laporan kejuruteraan akan menentukan sama ada ia boleh terus dibangunkan di lokasi sedia ada atau dipindahkan ke kawasan baharu dengan kerjasama kerajaan negeri.
"Saya menegaskan semua proses ini perlu disegerakan kerana tahap kerosakan akibat banjir adalah luar biasa," katanya selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini hari ini.
Beliau memaklumkan tambahan peruntukan RM10 juta telah disalurkan manakala laporan akhir daripada pihak berkuasa tempatan sedang ditunggu bagi menentukan penambahan dana.
"Terdapat beberapa keperluan yang memerlukan peruntukan lebih besar selepas fasa penyelesaian awal banjir. Buat masa ini, bantuan ditumpukan kepada keluarga terjejas melibatkan makan minum dan penempatan sementara.
"Insya-Allah, Kerajaan Negeri bersama Persekutuan akan menyelaraskan tanggungjawab sama ada di bawah Negeri atau Persekutuan,” katanya.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi Persekutuan dan Negeri atas komitmen membantu rakyat sepanjang tempoh sukar ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera kerajaan yang bertungkus lumus membantu. Dalam tinjauan, jelas penduduk menghargai kesiapsiagaan serta pengorbanan mereka termasuk penyediaan tenaga dan bekalan elektrik.
"Saya menekankan betapa besarnya penghargaan kita terhadap penglibatan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri hingga ke peringkat bawah dalam meringankan beban rakyat," ujarnya.
Terdahulu, Anwar diiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor turut meninjau lokasi kejadian tanah runtuh serta menyantuni penduduk di kawasan Country Heights di Penampang.