SUBANG JAYA, 19 September - Kerajaan Selangor akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menilai laporan siasatan insiden letupan saluran paip gas di Putra Heights pada April lepas.
Jawatankuasa itu akan meneliti laporan yang dikemukakan oleh agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta beberapa jabatan teknikal lain sebelum dibawa ke peringkat seterusnya untuk tindakan susulan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, jawatankuasa tersebut terdiri daripada lapan pakar profesional, melibatkan pelbagai kepakaran seperti cerun, kebakaran, saluran paip, minyak dan gas, serta ahli akademik termasuk wakil dari pihak kerajaan dan pembangkang.
Katanya, Setiausaha Kerajaan Negeri seterusnya akan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkaitan sebelum senarai rasmi ahli jawatankuasa diumumkan.
"Saya nak maklumkan semasa dua mesyuarat yang lepas, kita telah meluluskan senarai jawatankuasa bebas yang akan menilai laporan yang telah dibuat oleh pihak DOSM, Jabatan-jabatan berkaitan, bomba dan sebagainya. Dan kita menerima cadangan daripada semua pihak," katanya.
Datuk Seri Amirudin berkata demikian selepas meninjau projek bina semula dan baik pulih rumah mangsa terjejas akbat insiden itu di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong di sini.