fb fb fb fb fb

Mangsa serangan harimau hilang penglihatan, hidup terbatas cari rezeki

Mangsa, Adin Andok berusia 52 tahun mengakui kecederaan itu menyebabkan beliau tidak lagi mampu melakukan kerja berat selain pergerakan tangan turut terbatas akibat kecederaan urat yang dijahit

GUA MUSANG, 19 September- Seorang lelaki Orang Asli yang pernah menjadi mangsa serangan harimau belang di Kampung Badak, Pos Bihai, empat tahun lalu kini hilang penglihatan sebelah mata akibat dicakar haiwan buas itu.

Mangsa, Adin Andok, 52 tahun berkata kecederaan pada mata kirinya menyebabkan beliau tidak lagi mampu melakukan kerja berat selain pergerakan tangan turut terbatas akibat kecederaan urat yang dijahit.

“Selepas kejadian tahun 2021, saya menjalani rawatan di Hospital Kuala Krai sehingga 2024. Doktor maklumkan penglihatan tidak dapat dipulihkan. Sekarang berani juga untuk bekerja, tetapi kerja berat memang tak boleh,” katanya.

Menurut Adin, beliau kini hanya mampu melakukan kerja ringan di kebun secara terhad kerana keadaan kesihatannya itu.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Gua Musang, Bun Tham Eh Gin berkata, Adin menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Februari 2023 berjumlah RM250.

Tambah Bun Tham, bantuan beliau dinaikkan kepada RM300 mulai bulan ini, selepas disahkan sebagai penerima berstatus OKU di bawah Skim Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB).

Dalam kejadian 5 Julai 2021, kira-kira pukul 3.00 petang, Adin parah selepas diserang harimau belang ketika berada di kebun ubi kayu miliknya.

Beliau terpaksa menahan kesakitan hampir 15 jam sebelum dibawa keluar menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke Hospital Gua Musang dan seterusnya ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam milik Adin bernombor 03-063-02-022065-0 atau menghubunginya di talian 011-15981011.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM