fb fb fb fb fb

TH saran bakal jemaah haji kemas kini maklumat peribadi

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 19 September- Semua bakal jemaah haji diingatkan untuk segera mengemas kini profil maklumat peribadi masing-masing bagi memastikan proses komunikasi dan tawaran haji bagi musim 1447H/2026M berjalan lancar.

Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Tuan Haji Mustakim Mohamad dalam satu kenyataan memberitahu peringatan berterusan itu adalah sebahagian daripada komitmen TH untuk memastikan semua bakal jemaah haji menerima maklumat terkini yang tepat seperti jadual taklimat persediaan, kursus haji serta segala panduan perjalanan ke Tanah Suci.

Tambahnya, rekod TH mendapati seramai 521 bakal haji dalam senarai giliran 1447H/2026M tidak dapat dihubungi.

Isu tersebut boleh menjejaskan kelancaran penyampaian maklumat berkaitan persediaan dan pengurusan ibadah haji.

"TH menggesa semua pendeposit, terutamanya bakal haji dalam senarai giliran untuk mengambil tindakan segera dengan hadir ke pejabat cawangan TH terdekat atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919 bagi mengemas kini serta mengesahkan profil maklumat peribadi seperti nombor telefon, alamat surat-menyurat dan e-mel," kata kenyataan itu.

Beliau berharap semua bakal haji dapat memberikan kerjasama berbuat demikian dalam masa terdekat supaya urusan haji dapat diatur dengan sebaik-baiknya.

Semakan giliran menunaikan haji juga boleh dilakukan di platform THiJARI atau di pejabat cawangan TH di seluruh negara.

"Persediaan awal dari aspek kesihatan, kewangan dan ilmu pengetahun berkaitan ibadah haji supaya urusan penerimaan tawaran haji serta perjalanan menuju ibadah haji yang mabrur dapat dilakukan dengan lancar," tambah kenyataan itu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM