RAWANG, 19 September - Selepas lebih 30 tahun menunggu, isu penyerahan hak milik dan pampasan kepada 363 bekas peneroka FELDA Sungai Buaya akhirnya berjaya diselesaikan sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha penyelesaian itu telah dimulakan sejak tahun 2018 dan hari ini (Jumaat) menandakan penyerahan baki terakhir pampasan kepada peneroka terlibat.
Menurutnya, selepas penyelesaian pampasan tersebut, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan semula kawasan Sungai Buaya termasuk penyediaan kemudahan awam.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari
“Selepas ini sudah pasti kita mahu melihat kawasan ini dibangunkan dengan lebih baik. Sebab itu isu penggazetan dan perlindungan kawasan masjid, surau serta dewan orang ramai akan diberikan perhatian.
“Saya sebutkan tadi, ada yang sedang menunggu pihak syarikat membuat ukuran. Jika ada kekangan tertentu, Pejabat Menteri Besar akan memberikan sokongan supaya ukuran itu dapat dilaksanakan.
“Mereka juga telah membelanjakan jutaan ringgit untuk menyelesaikan hal ini. Jadi saya rasa kerjasama semua pihak amat diperlukan. Saya percaya selepas ini Bandar Sungai Buaya, dengan adanya persimpangan bertingkat, kawasan industri serta kemudahan sedia ada, sudah bersedia untuk bergerak maju menyambut pembangunan pesat di Hulu Selangor mutakhir ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bayaran Peringkat Akhir Pampasan di Sungai Buaya, di sini.
Sementara itu, beberapa bekas peneroka meluahkan rasa lega serta bersyukur apabila pampasan yang dijanjikan akhirnya diterima, sekali gus menamatkan penantian lebih tiga dekad.

Jamadi Mohamad
“Bersyukur dan terima kasih, terutama sekali kepada Menteri Besar Selangor yang berusaha menjayakan rancangan ini. Kalau dikira, lebih 30 tahun kami menunggu. Rasa seperti mimpi bila dapat duit tadi. Inilah jasa Menteri Besar dan juga wakil rakyat terdahulu yang sama-sama membantu,” kata Jamadi Mohamad.
Seorang lagi peneroka, Sri Manishwary berkata beliau sangat gembira kerana dapat menerima sendiri bayaran pampasan terakhir itu.
Sri Manishwary
“Sangat gembira kerana dapat menerima dengan tangan sendiri pampasan yang dijanjikan. Kami benar-benar berasa lega dan bersyukur,” katanya.
Bagi Mustar Talib pula, kejayaan itu dianggap satu penghargaan besar daripada kerajaan negeri.
“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor yang ada sekarang kerana tanah seluas 1,000 ekar yang diambil dahulu akhirnya dipulangkan semula. Kalau tidak, mungkin kami tidak akan menerima pampasan ini. Inilah jasa besar kerajaan negeri kepada kami,” katanya.