RAWANG, 19 September- Selangor akan menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Sabah, sebaik operasi mencari dan menyelamat selesai dilaksanakan pihak berkuasa.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata keutamaan ketika ini adalah memberi ruang kepada pasukan penyelamat melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terjejas.
“Kita sedang menunggu pihak Persekutuan selesaikan dahulu. Saya sudah bincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kini sedang menunggu untuk diumumkan dalam masa terdekat. Buat masa ini, kita biarkan proses menyelamat berjalan terlebih dahulu.
Kemudian, dalam proses pemulihan, kerajaan negeri akan membantu mengikut keperluan yang ada. Namun, kosnya agak tinggi kerana memerlukan penerbangan ke lokasi dan kita tidak boleh membawa masuk jentera berat, tidak seperti pengalaman di negeri-negeri lain. Kita akan cuba bantu dengan menghantar sukarelawan serta sokongan lain yang termampu kita laksanakan," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.
Antara bantuan yang bakal digerakkan termasuk penghantaran sukarelawan serta keperluan logistik asas bagi meringankan beban penduduk terjejas banjir di Sabah.
Sementara itu, jelas Datuk Seri Amirudin, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Sabah menerusi Tabung Selangor Bangkit.
Beliau memaklumkan tabung berkenaan bukan sahaja digunakan bagi tujuan kebajikan di negeri Selangor, malah turut disalurkan ke kawasan lain yang ditimpa bencana termasuk di peringkat antarabangsa.