MARUDI, 19 September - Paras air sungai di daerah Marudi dilaporkan terus meningkat walaupun cuaca cerah hari ini, sekali gus menyebabkan beberapa kawasan utama dinaiki air.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi, Mirwan Shah Masri pemantauan yang dijalankan dari pukul 6.00 pagi hingga 7.58 pagi mendapati paras air di beberapa lokasi mencecah antara 0.10 meter hingga 0.58 meter.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Narum, Kampung Dagang, Kampung Cina, Kampung Padang Kerbau, Bandar Marudi, Jalan Raya Logan Tasan dan Stadium Marudi.
Walaupun keadaan masih terkawal, jalan raya di kawasan terlibat hanya boleh dilalui oleh kenderaan tinggi sahaja.
Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan perkembangan semasa dan segera berpindah jika keselamatan terancam.
Sementara itu, tiada perubahan jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi setakat pukul 7.00 pagi tadi.