fb fb fb fb fb

KSN cadang resolusi hasil penyelidikan dibukukan

Tan Sri Azam Baki (tengah) menyampaikan sijil kepada wakil pembentang kertas kerja pada majlis Perasmian Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-4. Foto Bernama

SEPANG, 19 September - Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mencadangkan supaya semua resolusi hasil penyelidikan yang dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan sejak edisi pertama pada 2022 hingga keempat tahun ini dibukukan dan diterbitkan dalam satu jilid.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata perkara itu dikongsikan Tan Sri Shamsul Azri selepas majlis perasmian persidangan itu semalam.

Berucap pada majlis penutup persidangan di sini hari ini, Tan Sri Azam berkata penerbitan tersebut akan menjadi dokumen berharga bukan sahaja untuk rujukan penjawat awam dan pembuat dasar malah sebagai bacaan rakyat serta arkib negara pada masa hadapan.

"Justeru itu, persidangan penyelidikan ini bukan sekadar terhenti di sini. 11 resolusi yang telah dibentangkan dalam persidangan ini akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Persidangan kali ini merumuskan 11 resolusi antaranya cadangan penubuhan semula pasukan petugas khas membanteras PATI, memperkenalkan sistem penjejakan sisa masa nyata, menggubal undang-undang e-sukan, memperkukuh kepolisan komuniti serta mempertingkat pemantauan industri pelancongan melalui pendigitalan.

Turut dibangkitkan, pemerkasaan peranan badan profesional sektor alam bina, kawal selia perdagangan karbon biru, pembangunan modul latihan komprehensif sektor pembuatan serta penggunaan teknologi automasi dan audit telus dalam sektor minyak dan gas.

Persidangan edisi keempat tersebut melabuhkan tirai hari ini dengan resolusi berkenaan akan diserahkan kepada SPRM sebagai input pengukuhan tadbir urus negara.

 

JALALUDDIN BIN BAHARIN