fb fb fb fb fb

Global Sumud Flotilla terus belayar ke Gaza

Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlepas dari Teluk Portopalo, selatan Itali, kini meneruskan pelayaran menuju Gaza dalam misi kemanusiaan antarabangsa / Foto AFP

KUALA LUMPUR, 19 September – Konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) yang berlepas dari Teluk Portopalo, selatan Itali, kini meneruskan pelayaran menuju Gaza dalam misi kemanusiaan antarabangsa.

Sebahagian besar flotilla dari Itali dijangka bertemu dengan kumpulan flotilla Greece di tengah laut, manakala pasukan dari Sepanyol dan Tunisia sedang melengkapkan persiapan sebelum menyertai pelayaran itu.

Menurut Pengarah Media Muslim Care Malaysia, Tuan Asri Tuan Hussein yang turut serta dalam misi tersebut, perjalanan dijangka mengambil masa antara sembilan hingga 12 hari bergantung kepada keadaan laut dan cuaca.

“Kami dijangka bergerak pukul 10 pagi waktu tempatan (Itali), kemudian difahamkan sebahagian besar yang akan turut berlayar terdiri daripada kumpulan flotila dari Itali.

“Semua flotilla dari Sepanyol dan Tunisia sudah bergabung dan kami dari Itali akan berjumpa dengan kumpulan flotila Greece di tengah laut dan bergabung di suatu tempat yang belum dipastikan lagi sebelum bergerak menuju ke Gaza,” katanya

Penyertaan flotilla dari beberapa negara Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat dilihat sebagai lambang solidariti antarabangsa terhadap rakyat Gaza, selain menzahirkan komitmen bersama terhadap isu kemanusiaan.

Misi itu bukan sekadar pelayaran, tetapi simbol perpaduan global yang diharap membuka lebih banyak ruang kemanusiaan untuk rakyat Gaza. 

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN