fb fb fb fb fb

PM arah KPKM segerakan pemulihan bekalan BPT di pasaran

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Mac- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata pemulihan bekalan itu sedang dilaksana secara berfasa.

"Perdana Menteri juga mengarahkan KPKM supaya memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan BPT secara berkala kepada rakyat," katanya.

Tunku Nashrul berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Pejabat Perdana Menteri Malaysia (PMO Malaysia) hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dijangka dibentangkan esok.

RUU berkenaan akan memberi kematangan kepada sistem demokrasi negara dengan membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi, peranan dan tanggungjawab dengan lebih bebas.

"Perdana Menteri yakin RUU ini mengangkat Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara dan menjulang proses demokrasi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

"Justeru, Perdana Menteri menzahirkan harapan agar RUU ini mendapat dukungan setiap Ahli Parlimen," kata Tunku Nashrul.

BERITA BERKAITAN:  

 

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM