KUALA LUMPUR, 3 Mac- Kerajaan mengumumkan Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak (Pindaan) 2024 (Akta 676) mula berkuat kuasa secara rasmi hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan memaklumkan pindaan tersebut menjadi perundangan utama yang menggariskan peruntukan substantif dan tatacara berkaitan keterangan saksi kanak-kanak.
Beberapa akta berkaitan turut dipinda bagi memastikan keseragaman dalam sistem perundangan antaranya Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792); Akta Keterangan 1950 (Akta 56) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).
"Dengan pindaan ini, kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding berkaitan kesalahan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 atau mana-mana kesalahan dalam Jadual kepada Akta tersebut sekiranya mangsa ialah kanak-kanak, kini akan diuruskan sepenuhnya di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007.
"Ini termasuk pensabitan seseorang bagi kesalahan bawah Akta tersebut yang boleh berasaskan keterangan saksi kanak-kanak tanpa sokongan, selaras dengan peruntukan baharu yang diperkenalkan," menurut kenyataan itu.
Kerajaan terus memartabatkan kedudukan saksi kanak-kanak dalam sistem keadilan negara dan mengiktiraf peranan penting golongan itu dalam menegakkan keadilan. Usaha berkenaan sejajar dengan komitmen antarabangsa Malaysia, termasuk bawah Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak.
"Pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) yang telah dikuatkuasakan pada 10 Julai 2024, adalah antara bukti nyata iltizam Kerajaan dalam memperkukuh perlindungan terhadap kanak-kanak.
"Salah satu perubahan utama dalam pindaan ini adalah penambahan Seksyen 6A, yang memperuntukkan pelantikan seorang (1) Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak dan dua (2) orang Pesuruhjaya Kanak-Kanak," tambah kenyataan itu.
Proses pelantikan bagi jawatan-jawatan tersebut sedang diuruskan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri dan dijangka selesai dalam masa terdekat.
Pelantikan itu akan memastikan suara dan kebajikan kanak-kanak di Malaysia terus diperkasa serta diberi perhatian sewajarnya dalam dasar dan pentadbiran negara.
Kerajaan terus komited dalam memastikan hak dan kesejahteraan kanak-kanak di negara ini terpelihara, sejajar dengan prinsip keadilan dan kemanusiaan sejagat.