fb fb fb fb fb

Empat Imam Al-Azhar imarahkan Ramadan di Malaysia

Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar

PUTRAJAYA, 3 Mac- Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menerima kehadiran empat imam dari Mesir yang dihantar Majlis Hukama' Al-Muslimin bagi mengimarahkan keberkatan Ramadan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyambut baik inisiatif itu yang dilihat dapat memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara dalam aspek keagamaan serta memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia.

"Saya mengharapkan agar hubungan yang rapat antara kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Mesir akan terus diperkukuh. Hubungan ini juga merupakan platform baik antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi-agensi agama khususnya Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

"Selain itu hubungan dengan Universiti Al-Azhar akan dipertingkat termasuk kepimpinan dan banyak kebaikan lagi yang kita peroleh. Kita akan suburkan syiar Islam di negara ini dengan kerjasama Majlis Hukama' Al-Muslimin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan bersama empat imam besar Mesir di sini.

Kesemua imam tersebut akan ditempatkan di masjid-masjid utama bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan salah satu daripadanya akan ditempatkan di Masjid Jamek Kampung Baru.

Terdahulu beliau juga merakamkan penghargaan kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb dan Setiausaha Agungnya, Muhammad Abdul Salam atas kerjasama tersebut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI