KUALA LUMPUR, 3 Mac- Halal Development Corporation Berhad (HDC) sedang melaksanakan kajian penambahbaikan rangka kerja Halal Malaysia (HALMAS) yang baharu dan dijangka siap sepenuhnya suku pertama tahun ini.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata rangka kerja berkenaan meliputi kaedah pengoperasian, mekanisme tadbir urus serta tawaran insentif berkaitan termasuk Tanjung Manis Halal Hab di Sarawak.
"Tanjung Manis Halal Hub di Sarawak merupakan salah satu Taman Industri Halal yang berstatus HALMAS sejak 2010 dengan jumlah keluasan tanah tersedia sebanyak 9,984 ekar untuk aktiviti pelaburan berkaitan.
"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 487.2 ekar ataupun 4.9 peratus tanah telah dibangunkan untuk kemudahan infrastruktur asas, aktiviti pertanian iaitu penanaman nanas dan aktiviti akuakultur iaitu ternakan udang.
"Jumlah pelaburan yang direkodkan adalah sebanyak RM18 juta meliputi satu syarikat asing dan dua syarikat tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd. Wahab berkenaan rancangan kementerian untuk membantu kerajaan Sarawak dalam usaha mempromosikan Hab Halal di Tanjung Manis ke peringkat antarabangsa.
Setakat ini 14 Taman Industri Halal berstatus HALMAS telah dibina di seluruh negara melibatkan keluasan lebih 13,000 ekar tanah tersedia untuk aktiviti perdagangan dan pelaburan.