fb fb fb fb fb

PM Anwar tinjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di KLCC

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendengar penerangan daripada Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika meninjau persiapan Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan lawatan meninjau persiapan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dijadual berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini.

Ketibaan beliau di perkarangan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pukul 3.30 petang diiringi Menteri Dalam Neger Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Perdana Menteri kemudian disambut Menteri Luar Datuk Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri,Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Beliau turut meluangkan masa melawat Program Latih Amal Keselamatan Kepengerusian ASEAN 2025 yang sedang berlangsung.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pengangkutan,Anthony Loke dan Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Razarudin Husain.

Hari ini memasuki hari kedua sesi latihan yang diadakan susulan langkah Majlis Keselamatan Negara mengaktifkan Pasukan Pengurusan Krisis bersama agensi keselamatan, bagi memperkukuh pertahanan, keselamatan negara dan ketenteraman awam sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dijangka menghimpunkan hampir 20,000 individu termasuk perwakilan, peserta, anggota sekretariat serta kakitangan sokongan.

Ia bakal menyaksikan kehadiran pemimpin daripada 10 negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu-isu serantau, memperkukuh kerjasama ekonomi, dan memajukan prinsip inklusiviti serta kelestarian.

Bertemakan "Inklusiviti dan Kelestarian"untuk ASEAN 2025, sidang kali ini mencerminkan komitmen bersama rantau ini dalam membentuk masa depan yang lebih berdaya tahan, saksama, dan inklusif, baik di peringkat serantau mahupun global.

TETITIA YUSOFF