BEIJING, 2 September - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping di Great Hall of the People di sini, sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik dan komprehensif istimewa antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia komited memastikan segala persetujuan yang dicapai sebelum ini dapat dilaksanakan dengan segera bagi memberi manfaat bersama.
"Bagi pihak perwakilan, terima kasih dan bagi saya secara peribadi, ini adalah satu penghormatan besar (buat kami).
“Hubungan strategik dan komprehensif istimewa ini bukan sahaja penting untuk kedua-dua negara, malah saya mahu ia memimpin dunia.
"Lawatan Presiden Xi ke Malaysia sebelum ini juga telah diterima dengan baik, daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehinggalah rakyat biasa,” katanya.
Perdana Menteri turut menyatakan penghargaan kepada China kerana memberi ruang kepada Malaysia menyertai perbincangan Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), yang disifatkannya sebagai penting dan selaras dengan inisiatif Tadbir Urus Global.
Sementara itu, sejurus selepas pertemuan dengan Xi, Anwar turut mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Premier Li Qiang, di Rumah Tamu Negara Diaoyutai.
Pertemuan itu memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerjasama dua hala selain bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.