SINGAPURA, 12 September- Selepas sedekad penganjurannya, Sidang Kemuncak Asia Milken Institute buat julung kalinya menjemput pemimpin kerajaan berkumpul untuk berkongsi pandangan dan pengalaman.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja singkat ke Singapura bersempena Sidang Kemuncak Asia Milken Institute Ke-10.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan pada tengah hari, esok.
"Signifikannya kehadiran perdana menteri pada Sidang Kemuncak Asia Milken tahun ini kerana ia adalah kali pertama Milken menjemput seorang ketua kerajaan menghadiri sidang kemuncak ini.
"Dan ini akan memberi peluang kepada perdana menteri untuk menyampaikan dasar yang dilaksanakan kerajaan untuk menarik pelaburan khususnya dalam bidang green economy, digital economy dan sebagainya.
"Selain daripada itu perdana menteri akan menghadiri majlis jamuan teh yang dihoskan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong bersama isteri dan saya jangka perdana Menteri akan bertukar pandangan berhubung isu hubungan dua hala," katanya.
(Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad)
Persidangan tiga hari itu menghimpunkan lebih seribu peserta terdiri daripada pemimpin kerajaan, peneraju industri dan ahli akademik merentasi pelbagai bidang dari lebih 20 negara.
Ia dilihat sebagai platfrom tepat bagi mengukuhkan hubungan Malaysia dengan negara-negara luar.
Seterusnya membuka peluang meningkatkan kerjasama dan perkongsian ekonomi serantau dan global.
Laporan Muhammad Rastwin Stia